Wednesday, April 30, 2014

PENGENALAN

Pertolongan Cemas/ Rawatan Kecemasan

Pertolongan cemas atau bantuan awal yang diberikan kepada mangsa selalunya dapat membantu menyelematkan nyawa mangsa.

Pertolongan cemas ditakrifkan sebagai bantuan atau rawatan awal yang diberikan kepada seseorang yang mengalami kecederaan dalam sebarang kemalangan atau sakit secara mengejut sebelum ketibaan ambulans, doktor atau pakar perubatan sebelum mangsa dihantar ke hospital.

Sebelum melakukan pertolongan cemas, kamu perlu menilai situasi mangsa terlebih dahulu berdasarkan 6 perkara penting di bawah :

  1. Bahaya - Lihat jika ada sebarang tanda-tanda bahaya. Pastikan keselamatan anda dan mangsa terjamin atau dalam ertikata lain, alihkan bahaya dari mangsa atau alihkan mangsa dari bahaya.
  2. Periksa Pendarahan - Jika ada pendarahan, cuba hentikan pendarahan dengan segera.
  3. Respon - Panggil mangsa atau kejutkannya, minta bantuan ambulan jika tiada tindak balas dari mangsa.
  4. Saluran Udara - Dongakkan kepala mangsa untuk membuka saluran pernafasan dalam keadaan mangsa baring dengan kaedah mendongakkan kepala kemudian angkat dagu mangsa.
  5. Pernafasan - Periksa pernafasan mangsa dengan membuat 3M iaitu Melihat, Merasa dan Mendengar. Jika tiada pernafasan, beri 2 hembusan bantuan.
  6. Peredaran Darah - Periksa nadi kerotid sebelah trakea dengan 2 jari. Jika terdapat denyutan nadi bermakna ada denyutan jantung, jika tiada lakukan CPR.
Sebaliknya jika mangsa tidak sedarkan diri, lakukan 5 perkara di bawah :

  1. Periksa tanda-tanda utama kecederaan yang ada pada bahagian badan mangsa.
  2. Periksa nadi.
  3. Periksa pernafasan.
  4. Periksa tekanan darah (jika perlu)
  5. Periksa suhu badan mangsa. 
Mungkin jika difikirkan logik, ramai yang mengabaikan pengetahuan tentang kemahiran asas pertolongan cemas, tidak hairan juga jika rata-rata rumah, sebarang premis atau pejabat tidak mempunyai peti pertolongan cemas sekalipun. Masing-masing terlalu mengharap pada bantuan dari pembantu perubatan, jururawat atau doktor untuk melakukan tugas mereka.

Kemahiran pertolongan cemas walaupun sekadar asas sahaja cukup untuk menyelematkan nyawa jika di suatu masa kamu berada di situasi yang memerlukan tindakan segera. Mempunyai kemahiran seperti ini bukan untuk kamu menjadi pengamal perubatan atau sebagainya tetapi sekurang-kurangnya mahirkan diri untuk membantu diri kamu, rakan-rakan malah keluarga kamu sendiri.